Thursday, August 20, 2009

Antara Iman dan Islam

Kebolehan Nik Aziz 'dikagumi'

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
tarmizi.rahim@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan 'kebanggaan dan kekagumannya' terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menjadi satu-satunya individu yang boleh menentukan manusia masuk syurga atau neraka.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz adalah manusia istimewa yang 'lebih daripada manusia biasa' kerana insan lain hanya selepas mati baru mengetahui sama ada akan memasuki syurga atau neraka, itupun tidak boleh kembali ke dunia untuk menceritakannya semula.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengetahui destinasi masing-masing selepas mati, pergilah bertanyakan kepada Menteri Besar Kelantan itu.

"Saya tahu Nik Aziz dah pergi tengok syurga dan neraka sebab itulah dia boleh cakap dengan jelas. Orang lain semua tidak boleh, dia satu-satunya orang yang lebih daripada manusia biasa kerana manusia biasa hanya selepas mati baru boleh pergi syurga, tetapi dia tidak boleh balik untuk ceritakan semula.

"Kita pun tidak tahu sama ada Nik Aziz akan ke syurga atau neraka, cuma apa yang kita tahu sebagai manusia kena hidup sebagai orang baik. Tetapi tidak boleh pula cakap orang baik tidak ke neraka kerana kadang-kadang mereka juga buat silap, menghina orang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima Anugerah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) sempena konvokesyen ke-10 universiti berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Canselor dan Presiden IMU, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan Tan Sri Dr. Abu Bakar Suleiman.

Dr. Mahathir mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu.

Tambahnya, beliau bangga dengan kebolehan Nik Abdul Aziz yang dapat menentukan pihak mana akan menjadi ahli syurga atau dimasukkan ke dalam neraka.

"Siapa yang nak tahu (masuk syurga atau neraka) lebih baik pergi tanya dia, dahulu ada seorang wanita yang buat salah pergi berjumpanya dan Nik Abdul Aziz ampunkan dia.

"Kalau ada manusia yang boleh ampunkan dosa orang lain, saya tidak tahulah, barangkali ilmu agama dia begitu tinggi," katanya.

Beliau juga ditanya mengenai keperluan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa memandangkan telah terlalu banyak kenyataan berbentuk ekstrem dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz sejak kebelakangan ini.

Dr. Mahathir berpendapat, fatwa khusus tidak perlu kerana umum telah mengetahui tiada manusia dalam dunia ini yang boleh tentukan mana-mana individu sama ada akan ke syurga atau neraka selepas mati.

"Walaupun orang itu betul-betul warak sekalipun, mungkin dia ada niat buat benda tidak baik maka kebarangkalian dia akan ke neraka juga ada," katanya.

My view:

Saya bertanya kepada diri sendiri dan sesiapa saja:

1) Adakah kita Islam tidak semestinya kita beriman?

2) Adakah kita beriman tidak semestinya kita Islam?

3) Pada pandangan saya iman dan Islam adalah perkara yang amat berkait rapat, ianya tidak boleh dipisahkan, kalau kita Islam sudah semestinya kita Islam kan?

4) Sama ada Islam kah kita atau berimankah kita bergantung kepada budi bicara Allah, bukannya kita yang akan tentukan, bukankah itu hak Allah untuk tentukannya?

5) Begitu juga dengan penentuan seseorang itu samaada hendak masuk syurga atau tidak, juga merupakan hak dan kuasa Allah, kita tidak boleh tentukan?

6) Pada hemat saya, selagi seseorang itu masih mengakui dirinya Islam dan beriman, masih melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang yang beriman dan sebagai seorang Islam, maka kita tidak boleh menentukan seseorang itu akan masuk syurga atau neraka?

7) Nik Aziz terlalu dibalut oleh perasaan kebenciannya sehinggakan menguasai diri dan telah mengeluarkan kenyataan yang amat meragukan ini. Adakah ini yang diajar oleh Islam? Tidak sama sekali.

8) Inilah yang terjadi kepada Islam sejak Rasullullah wafat, bermacam - macam intipritasi terhadap Islam telah dikeluarkan oleh umatnya sendiri sehinggakan umat Islam berpecah, sedangkan kita sesama Islam adalah bersaudara.

9) Kelemahan Islam telah disebabkan umatnya sendiri yang terpesong dari ajarannya yang sebenar. Inilah saudara kita yang mengintipritasikan Islam berdasarkan pandangan dan hawa nafsu sendiri. Lebih teruk lagi ianya dibuat oleh ahli politik yang kononnya bertaraf ulama, sesiapa yang merupakan penyokong - penyokong fanatiknya pasti akan menerima bulat - bulat kenyataan beliau.

10) Bolehkah keislaman, keimanan dan ketentuan kita samaada ke syurga atau ke neraka ditentukan oleh hamba Allah ini?

11) Saya berasa amat sedih dengan apa yang menimpa terhadap agama saya hanya semata - mata ingin mendapat populariti politik sehinggakan menyebabkan kita lupa asas - asas dan batas - batas agama kita yang amat dicintai ini.

No comments:

Post a Comment