Sunday, February 14, 2010

Sanusi Junid : KEARAH MENCAPAI KEJAYAAN

1) Saya sungguh terpikat dengan artikel terbaru Tan Sri Sanusi Junid yang bertajuk seperti di atas, klik di sini.

2) Cerita beliau mengenai Haji Ahamad Dobi, Tan Loh Boon Siew, Tan Sri Lim Goh Tong dan Wahi Makam begitu teruja sekali.

3) Yang begitu menarik perhatian saya ialah cerita beliau mengenai Haji Ahmad Dobi:

HAJI AHMAD DOBI

5. Haji Ahmad Dobi yang berasal dari Alor Setar pernah memberitahu kepada saya bagaimana beliau telah bertemu dengan seorang yang lebih tua darinya dalam penerbangan pulang dari Amerika Syarikat melalui Singapura. Dia telah menjemput kedua orang tua yang hendak ke Singapura itu supaya meneruskan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Dia telah memberi layanan yang sungguh istimewa kepada kedua orang tua ini bila mereka tiba-tiba terpikat dengan pujukan Haji Ahmad dan sampai juga perjalanan mereka ke Kuala Lumpur. Mereka begitu puas dan gembira dengan layanan Haji Ahmad, walau pun Haji Ahmad baru sahaja mengenali mereka di dalam kapal-terbang. Mereka sungguh terpikat dengan keindahan Kuala Lumpur sehingga berjanji untuk datang lagi.

6. Haji Ahmad terkejut bila beliau ditawarkan saham dalam syarikat milik pelancung tua tadi yang membuat keputusan untuk melabur di Malaysia. Haji Ahmad menjadi jutawan sebagai pemegang saham dalam syarikat Motorola milik pelancong tua itu.

7. Apakah itu nasib namanya? Mungkin. Tetapi orang tidak tahu bahawa Haji Ahmad adalah seorang ahli perniagaan beras yang gigih. Beliau nasihatkan saya di waktu saya sedang menaja Koperasi SHAMELIN supaya membeli barang dengan harga yang tertinggi dan menjualnya dengan harga semurah mungkin. Kalau kita beli dengan harga yang tinggi semua orang hendak jual kepada kita dan kalau kita jual dengan harga yang termurah orang ramai akan beli dari kita. Beliau menasihatkan saya supaya tidak berhasrat untuk jual sedikit untuk mendapat untung yang banyak. Sebaliknya cuba menjual dengan banyaknya walaupun kecil untung bagi tiap seunit. Kita dapat menguasai pasaran jika banyak jualan. Ilmu ini Haji Ahmad perolehi dari pengalaman.

8. Haji Ahmad mulanya jual beras di Alor Setar tetapi dia yakin jika dia ingin lebih berjaya dia perlu berkenalan dengan orang-orang yang telah berjaya. Dia buat kesimpulan bahawa orang yang berjaya tentunya naik kapalterbang di kelas satu dan tidak di kelas ekonomi. Tetapi untuk naik kelas satu harganya terlalu mahal dan diluar kemampuannya. Dia selidik dan mendapat tahu jika dia memiliki perniagaan ejen jual tiket kapal-terbang dia boleh berjalan kesana-sini dengan bayaran sekitar 10 peratus dari tambang sebenar dan ada kalanya tidak perlu bayar apapun bila ada promosi. Dia pun memulakan perniagaan sebagai ejen jual tiket kapalterbang. Itulah sebabnya setelah beberapa kali perjalanan melintasi benua dengan menaiki kelas satu salah seorang yang berjaya yang dia temua ialah pelancong tua pemilik Motorola tadi. Inikah yang dikatakan nasib?

#Lesson and learn ialah; Kalau kita hendak beli, belilah dengan harga yang tinggi, jadi semua orang hendak jual kepada kita dan kalau kita hendak jual, juallah pada harga yang semurah mungkin barulah ramai orang hendak beli. Sebaliknya menjual dengan banyak tetapi untung yang kecil bagi setiap unit, maka kita akan dapat menguasai pasaran hasil dari penjualan yang banyak. Inilah konsep perniagaan yang diterapkan oleh Islam yang menolak sifat tamak haloba dalam menjalankan perniagaan.

4) Satu lagi cerita yang menarik perhatian saya ialah mengenai cerita Tan Sri Loh Boon Siew, kisah dimana Loh Boon Siew telah menghadiahkan sekeping tanah di Sungai Raya kepada ahli - ahli MIC untuk dibuat projek perumahan. Kisah ini kembali mengingatkan saya dimana saya secara tidak langsung turut terlibat dalam membekalkan sistem rawatan najis untuk projek tersebut ketika bekerja dengan syarikat Pembinaan Jayabumi dahulu.

5) Loh Boon Siew yang saya ketahui melalui kenalan kampung saya yang bernama Haji Rahim yang merupakan salah seorang pemilik syarikat Perunding Asas kenalan kepada Loh Boon Siew yang dikenali sejak beliau menjadi jurutera daerah Langkawi lagi. Boon Siew telah melantik beliau sebagai perunding untuk projek tersebut. Haji Rahim berkata, pada asasnya, projek tersebut tidak memberi keuntungan kepada beliau, tetapi memandangkan projek tersebut mengambil tempoh yang panjang untuk disiapkan membuatkan syarikat Perunding Asas sentiasa mempunyai pendapatan tetap sepanjang tempoh projek tersebut.

6) Haji Rahim pernah berkata, Loh Boon Siew amat begitu tipikal "Chinaman" dalam berniaga, jadi sesiapa yang ingin bekerja dengan beliau kena harus banyak bersabar kerana keuntungan bekerja dengan beliau bukan datang secara singkat tetapi ianya datang secara perlahan - lahan yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Itu pengalaman yang beliau lalui ketika bekerja dengan Loh Boon Siew. Orang Melayu harus mencontohi sifat, rajin dan tekun mereka ini.

7) Artikel tersebut benar - benar menyentuh hati bahawa kejayaan seseorang itu bukannya datang secara mudah, ianya mesti disulami dengan kerja keras, berilmu, jujur, bijak, amanah dan bernasib baik.

8) Sebenarnya banyak cerita - cerita menarik mengenai mereka ini yang tidak kita ketahui harus dikongsi bersama - sama semoga anak cucu kita sedar daripada mana asal usul mereka.

9) Daripada contoh dan akhlak mulia yang ditunjukkan haruslah kita ikuti sama ada yang berniaga mahupun yang tidak berniaga kerana ianya merupakan contoh yang baik.

No comments:

Post a Comment