Wednesday, May 12, 2010

Melayu Baru

1) Aku sering bercakap mengenai Melayu Baru dalam Facebook. Kali ini aku ingin memberi gambaran sebenar mengenai apa yang dikatakan Melayu Baru itu.

2) Idea mengenai Melayu Baru adalah hasil dari rentetan pertemuan dan perbincangan dengan saudara Najieb Mokhtar, topik perbincangan kami berkisar tentang teologi, budaya dan sikap orang Melayu serta sifat - sifat negatif lain orang Melayu yang harus dikikis dan seterus dibuang sama sekali dari sanubari orang Melayu.

3) Sifat - sifat negatif ini seakan - akan sudah menjadi darah daging orang Melayu yang ketika ini, kami berpendapat bahawa ianya sudah semakin kritikal. Pandangan saudara Najieb amat diperlukan kerana pandangan beliau amat berguna kerana beliau dapat melihat sesuatu perkara tersebut dari sudut luaran, holistik, prakmatik, kritikal, lebih jujur dan juga dari sudut yang lebih universal. Oleh itu, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana sudi berkongsi pengalaman dan pandangan beliau, semoga Allah membalas jasa baik beliau.

4) Kami juga berpandangan bahawa masalah utama yang membelengu dan sering membantut kejayaan orang Melayu kerana terdapat sifat tamak haloba, dengki, takut dengan cabaran (kerana terdapat jiwa kecil dalam sanubari orang Melayu), malas, sombong dan berlagak (terutama sekali terdapat di kalangan orang Melayu yang berjaya dalam ekonominya), lupa asal usulnya, suka mencari jalan mudah untuk berjaya, berfikiran simplistik, bersikap double standard, hipokrit, sering melindungi kawan dan hatta musuh sendiri, sanggup berdiam hanya kerana ingin menjaga hati kawan dan musuh, tidak jujur atau tidak amanah serta ego.

5) Aku dapati masih kurang di kalangan kita berbincang secara terbuka mengenai masalah ini, pandangan jujur sering akan disalah ertikan mungkin kerana terdapat di kalangan kita yang tidak dapat melihat sesuatu isu itu secara jujur dan holistik, mungkin kerana pandangan jujur itu sering bersifat radikal. Oleh itu, kalau hendak membincangkan perkara ini, kita juga haruslah jujur atau ikhlas dan harus mempunyai fikiran terbuka dalam hal ini.

6) Kami juga dapati terdapat nilai - nilai baik yang terdapat di kalangan orang Melayu yang belum benar - benar diekploitasikan oleh orang Melayu itu sendiri. Nilai dan budaya timur yang telah diterapkan oleh orang Melayu seiring dengan ajaran Islam seperti menghormati orang yang lebih tua dari kita, berperinsip tinggi dan berinterigiti tinggi dan bertoleransi (yang suatu ketika menyebabkan orang Melayu sering berada di dalam situasi kalah, yang disebabkan oleh faktor saingan dari bangsa lain yang bersikap kiasu).

7) Sejarah negara telah menunjukkan kepada kita bahawa kerana sifat bertoleransi orang Melayulah terhadap bangsa lain yang suatu ketika membenarkan bangsa Cina dan India mendapat hak kerakyatan negara Malaysia sebelum negara mencapai kemerdekaan. Kerana sifat toleransi UMNO lah, yang sanggup mengorbankan kawasan parlimen yang bermajoriti Melayu dari 80% kepada 60% kerana ingin berkongsi kuasa dengan bangsa lain. Malangnya, kita seperti sudah lupa tentang fakta sejarah ini.

8) Lebih malang lagi, terdapat di kalangan orang Melayu yang kononnya berfikiran liberal yang menyokong tuntutan bangsa lain untuk mendapat hak yang lebih saksama dengan bangsa Melayu. Golongan Melayu liberal ini menganggap diri mereka tidak rasis, atas dasar saksama dan adil ini, tanpa disedari mereka ini telah menjadi penyangak dan pembelot bangsa sendiri, bukankah itu juga boleh diklasifikasikan sebagai rasis? Malah bertambah buruk lagi, hak agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia juga tergugat, belum pernah terjadi dalam sejarah negara, perkataan Allah juga sedang digugat, lebih malang lagi ada di kalangan orang Melayu yang berfikiran liberal juga menyokong penggunaan kalimah Allah ini oleh agama lain. Apa yang mereka ini sedang pertahankan ialah hak agama lain dalam menggunakan perkataan Allah, sedangkan mereka terlupa, faktor ini bakal menggugat akidah orang Islam itu sendiri.

9) Hak Melayu ini seperti sudah terhakis sedikit demi sedikit kerana badan - badan yang harus mempertahankan hak - hak orang Melayu seperti sudah layu dan lemah tak bermaya. Oleh itu, sebagai orang Melayu yang jujur dan ikhlas serta sayang terhadap bangsanya, aku berpandangan perlunya satu kaedah atau anjakan paradikma yang lebih praktikal perlu dilakukan oleh orang Melayu ketika ini.

10) Tertubuhnya pertubuhan bukan kerajaan seperti Perkasa, telah menunjukkan kepada orang Melayu bahawa terdapat cahaya di hujung terowong. Perkasa bertujuan untuk mempertahankan hak - hak orang Melayu daripada diperkosa oleh golongan - golongan ultra kiasu ini dan juga dari golongan - golongan Melayu liberal penderhaka ini. Perkasa ditubuhkan untuk mempertahankan hak - hak orang Melayu dan Bumiputera seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan. Perkasa bukan bertujuan untuk merampas hak - hak bangsa lain yang juga telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

11) Maka timbullah idea Melayu Baru untuk diri ku dan bangsa aku. Melayu Baru adalah manifestasi atau tambahan nilai - nilai baru dan pembaikan nilai - nilai lama yang perlu dikukuhkan dalam sanubari orang Melayu Baru ini, nilai - nilai negatif dan lama dalam sanubari Melayu Lama harus digantikan dan ditambah baikkan dengan dengan nilai - nilai baru sejajar dengan konsep Melayu Baru.

12) Aku berharap dengan tersiarnya pandangan ini, kita akan terfikir dan sedar dari lamunan dan dapat meletakkan diri kita sama ada kekanan atau kekirikah kedudukan kita. Hanya jauhari mengenal manikam.

13) Pandangan aku ini, hanyalah sekadar pandangan peribadi ku, hasil dari pangamatan dan analisis ku terhadap suasana politik tanah air ku serta sikap bangsa ku sendiri.

14) Orang Melayu harus berubah, kalau tidak, kita akan diubah. Berubah daripada jahat kepada baik, daripada negatif kepada positif, daripada malas kepada rajin dan daripada Melayu Lama kepada Melayu Baru.

No comments:

Post a Comment