Tuesday, July 10, 2012

Ahmad Shaffie Dalam Kenangan - Tamadun Rumpun Budaya Melayu - Konsep Taman dan Bunga Dalam Kesusasteraan dan Tamadun Melayu

1) Aku baru aja pulang dari Timur Malaysia atas urusan kerja. Ketika pulang naik teksi dari KL Sentral, sempat berbicara dengan pemandu teksi. Tajuk bicara kami berkenaan bangsa Melayu dan bahasa Melayu nusantara.

2) Pada mulanya aku disoal oleh pemandu teksi, siapakah satu - satunya manusia di dunia ini yang mengubah masa? Perkara pertama yang terlintas di fikiran ku sudah pastilah Tun Dr. Mahathir, malah apabila beliau menyatakan lagi, orang yang bertanggungjawab menyamakan waktu di semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, maka aku sudah pasti yang beliau maksudkan ialah Tun Dr. Mahathir.

3) Ketika menunggu penerbangan pulang dari Miri ke Kuala Lumpur, aku tersadai di lapangan terbang Miri selama 6 jam dan tambahan 1 jam lagi atas kelewatan Air Asia. Bos aku pernah berkata - Tak lewat tak Air Asia la. Bagi memenuhi ruang masa selama 7 jam tersebut, aku berkesempatan membaca buku Tamadun Rumpun Budaya Melayu yang dibeli di pasar karat, JB baru - baru ini ketika menghadiri jemputan kenduri rumah Datuk Nasir Safar di Kulai Jaya, Johor.

4) Buku yang bertajuk Tamadun Rumput Bangsa Melayu yang dikarang oleh Saudara Abdul Rahman Al-Ahmadi jelas merupakan pilihan tepat yang dicadang oleh Saudara Najieb Mokhtar. Baru separuh selesai dibaca, ketika aku masih lagi bersemangat membacanya, aku telah diajukan soalan dan berbicara mengenainya oleh pemandu teksi tersebut, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.

5) Aku tidak sangka betapa mendalam dan jauh pemikiran arwah ayah dalam mencari nama agar seiring dengan Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Bab ke-4 yang bertajuk Taman, Konsep dan Kewujudannya Dalam Tradisi Di Alam Melayu benar - benar menarik minat ku, malah aku berterima kasih kepada arwah atas nama yang diberi. Sesungguhnya nama Bustanul itu bererti taman.

6) Menurut penulis, taman ada kaitan rapat dengan cara orang Melayu. Dalam ungkapan sehari - hari secara sederhana orang Melayu selalu menyebut kampung halaman. Biasanya dalam kampung halaman itu ada unsur kampung sebagai tempat kediaman, sebagai halaman yang dikelilingi oleh tanam - tanaman halaman. Dalam mendirikan sebuah kampung halaman diadakan dahulu upacara keagamaan dan upacara ritual yang bersifat magis seperti memilih tanah tempat tinggal, letak tanah, arah matahari, hari - hari baik dan sebagainya.

7) Semua yang dihubungkan sesuai dengan teknologi desa yang sederhana yang difahami oleh anggota masyarakat dalam hubungan mereka dengan alam semula jadi. Kawasan alam semula jadi kampung dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa mengganggu persekitaran dan mengubah corak asalnya, alam semula jadi digunakan sebaik mungkin tanpa dimusnahkan.

8) Upacara pemilihan tapak rumah dengan upacara doa keagamaan dan upacara ritual yang bersifat simbolis seperti meletak sebuah wadah (baldi) berisi air dengan jampi di atas sebuah piring kecil dan ditinggalkan di atas tapak itu untuk semalaman. Kemudian keesokan paginya wadah air dilihat semula untuk mengetahui apakah air itu tumpah ke atas piring. Sekiranya air itu tumpah atau masih penuh dalam wadah itu, maka tapak itu dipilih, sebaliknya jika ia tumpah maka tapak itu tidak dipilih.

9) Selepas tapak dipilih, kawasan itu diterangkan sekadar seluas sebuah tapak rumah. Rumah itu lazimnya didirikan mengadap kiblat sesuai untuk kemudahan mendirikan solat, dan untuk mengelak cahaya matahari memancar tepat. Amalan ini adalah untuk menyesuaikan manusia dan alam semula jadi.

10) Di daerah Sunda Jawa  Barat ada syair kuno yang berbunyi begini;


Disucikan dahulu tanah sekitar
Barulah tiang - tiang mantap terpancar
Serta teratur rapi rangka dibangun
Dinding menutup dan atap pun menyatu

Indah sangat ragam hiasan diukir
Beraneka pola warna pun dilukis
Doa dibaca agar rumah sempurna
Selamat penghuni, kayalah budaya


11) Dari konsep kampung halaman seperti di atas, maka nampaklah sifat semulajadi orang Melayu bahawa mendirikan kampung halaman bukan sekadar untuk memenuhi keperluan tempat tinggal semata - mata tetapi juga memenuhi fungsi ekonomi, nilai kelesaan dan nilai keagamaan serta menjaga keseimbangan antara manusia dan alam.

12) Betapa eratnya orang Melayu dengan taman dapat dilihat dalam sastera klasik Melayu yang amat kaya sekali penceritaan tentang taman, boleh dikatakan hampir semua buku - buku sastera klasik Melayu menyebut taman sebagai unsur penting penceritaannya.

13) Gambaran tentang taman bukan sahaja diceritakan dalam sastera klasik Melayu bahkan konsep taman selalu digunakan dalam budaya orang Melayu hingga kitab pun disebut Bustan atau Hadiqah. Kedua - dua kata itu bermaksud taman yang berasal dari bahasa Arab. Kitab penting yang menggunakan judul Bustan ialah Bustanul Salatin karya Naruddin Ar Raniri yang bererti Taman Raja - raja. Banyak lagi kitab - kitab Melayu yang menggunakan kata Bustan seperti Bustanul Ariffin yang bererti taman orang yang berilmu pengetahuan. Raja Ali Haji pernah mengarang kitab bahasa Melayu bernama Bustanul Katibin yang bererti Taman Persuratan. Di samping itu ada pula kitab Melayu yang menggunakan kata Hadiqah yang juga bererti taman misalnya kitab karangan Haji Wan Ahmad al-Patani dengan judul Hadiqul Azhar wal Riahin yang bererti Taman Bunga dan Bunga - Bunga Wangian. Perkataan Bustan ada pula digunakan untuk nama seseorang seperti Bustanul Ariffin, Bustaman dan sebagainya.

14) Ada pula konsep taman digunakan dalam bahasa Sanskrit seperti sebuah buku terkenal bahasa Jawa dengan nama Kusumawicitra yang bererti Taman Indah Beraneka Bunga. Kata Kusuma digunakan juga bagi buku sastera klasik Melayu dengan sebutan Bunga Rampai Melayu Kuno. Kata Kusuma dan Bunga memang dipakai untuk nama orang di Jawa dan Sunda, gelaran para bangsawan selalu menggunakan Kusuma seperti Perdana Kusuma, Hadikusuma, Wijayakusuma, Jatikususma, Kusumaatmaja dan sebagainya, sebaliknya di daerah Melayu, di zaman dahulu orang Melayu menggunakan bunga untuk nama mereka seperti Encik Bunga, Melati, Melor, Cempaka dan sebagainya. Begitu rapat konsep taman dengan bunga sehingga di kalangan orang Melayu menggunakn istilah Bunga Rampai untuk upacara penting seperti dalam upacara maulud, kenduri kahwin dan sebagainya, bahkan digunakan pula bagi ukiran dinding, mimbar dan sebagainya dengan motif flora atau awan larat.    

15) Adanya penggunaan kata taman dengan istilah Bustan, Hadiqah, Kusuma dan Bunga Rampai dalam tradisi ilmu dan budaya di kalangan orang Melayu menunjukkan bahawa orang Melayu dalam kehidupan dikelilingi oleh konsep taman. Dalam konsep negara pun orang Melayu selalu menghubungkan taman dan bunga seperti banyak nama negeri atau tempat dihubungkan dengan nama bunga. Nama kerajaan Sriwijaya ada orang menghubungkan kata itu dengan nama bunga Wijayamala. Nama Malaka dari Mala dan Ka. Mala bererti bunga mala atau bunga Wiajayamala. Kata Ka bererti tempat, nama negeri Campa dari nama bunga Cempaka. Nama negeri Kelantan disebut juga sebagai Negeri Sekebun Bunga yang ertinya sama dengan Taman Sri Ksetra zaman Sriwijaya abad ke-7. Nama timbangan Minangkabau dengan Ulak Tanjung Bunga Alam Minangkabau. Di pulau Mindanao ada tempat bernama Samboanga yang bererti jambatan bunga.

16) Sebenarnya penceritaan tentang taman dalam sastera Melayu bukanlah bersifat khayal tetapi penuh dengan pengertian, kefahaman dan kesedaran. Dalam sepanjang sejarah di alam Melayu banyak sekali dapat dirujukkan berkenaan dengan taman ini.

17) Dalam zaman Sriwijaya tahun 606 - 684 Masihi ada batu bersurat, Talang Tuo dekat Palembang yang menyatakan seorang raja memerintah membangun sebuah taman bernama Sri Ksetra demi kebahagiaan dan kemakmuran rakyat serta untuk kepentingan semua makhluk. Di taman itu ditanam berbagai tumbuh - tumbuhan yang dapat digunakan bagi keperluan hidup rakyat. Setelah sang raja menyediakan keperluan jasmaniah, beliau lalu menyampaikan ajaran budi pekerti yang luhur bersumberkan pada ajaran agama waktu itu. Ini merupakan data tertua tentang konsep taman yang dihubungkan dengan ajaran agama.

18) Di zaman Sailandra - Sriwijaya Jawa Tengah di daerah Kedu yang terkenal subur hingga digelar orang sejak zaman dahulu sebagai Taman Pulau Jawa, di taman inilah didirikan Candi Borobudur pada tahun +-800 Masihi. Mengikut hypothesis seorang seniman Belanda Nieuwenkamp bahawa dataran tinggi Kedu bahagian selatan dahulunya merupakan sebuah danau besar, di tengahnya ada sebuah pulau dan di atas pulau ini didirikan Candi Borobudur sebagai lambang Bunga Teratai yang mengapung di atas. Kalau dilihat dari udara kelihatan Candi Borobudur itu menyerupai kelopak Bunga Teratai dengan daun bunganya yang mengelilingi bakal buahnya, sedang letaknya di atas puncak bukit mengingatkan kita bahawa candi itu mengapung di udara.

19) Di zaman Majapahit abad ke-14 terdapat juga gambaran tentang Kota dan Taman seperti yang disebut dalam kitab syair Nagarakartagama dalam pupuh 8 (+-=bait).

Terjemahannya :

Halaman istana amat indah, berdinding batu merah, tebal dan tinggi. Di depan pintu masuk sebelah barat ada alun - alun, di tengah - tengahnya ada bulatan dalam.

Ada bersusun pohon brahmana (ficus religiosa), berjajar - jajar pohon bodhin (ficus rumphii),

Di bahagian lain pula dinyatakan ada ditanam pohon tanjung (Mimusops elengi),

Nagasari (mesua ferra atau topen: mallutos (floribunda), cempaka (michelia campaka) di samping itu ada pula ditanam pohon - pohon bunga yang indah - indah.

20) Di Melaka walaupun tidak dicatat dengan jelas tentang ada taman di istana tetapi perbandingan dengan istana negara lain di alam Melayu kita dapat menggambarkan bahawa negeri Melaka itu ada berjenis - jenis pokok yang tumbuh dengan subur. Apa yang digambarkan mengenai Kota Melaka itu tidaklah jelas mengenai taman, namun kita dapat rujuk dari buku Hikayat Hang Tuah yang amat indah sekali gambaran tentang taman ini.  

21) Gambaran mengenai taman dan istana dalam sastera klasiknya agak lebih jelas bila diperbandingkan dengan taman dan istana dalam tradisi Jawa. Di ibu kota Jawa lama terdapat lapangan - lapangan halaman, jalan raya, Istana dikelilingi oleh dinding batu terdiri dari beberapa bangunan - bangunan. Tidak tiap orang dapat masuk orang ke dalam istana. Di depan istana terdapat lapangan (alun - alun) tempat mengadakan  latihan berbaris setiap kali tahun. Pintu istana dijaga oleh pengawal yang disebut pasukan bhanyahangkara.

22) Dari kedua gambaran mengenai istana dan taman Melaka dan Jawa itu ada persamaan pula dengan istana dan taman di Aceh.

23) Di Aceh di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607 - 1636 Masihi). Baginda telah mendirikan sebuah Taman Sari disamping istananya untuk menghiburkan hati permaisurinya Puteri Pahang (yang berasal dari keluarga Diraja Pahang) yang selalu merindukan terhadap gunung - gunung di negeri Pahang. Di Taman Sari ini dibangunlah bangunan gunungan bersegi delapan bertingkat 3, tingginya 10 meter, tiap tingkat berakhir dengan hiasan seperti daun dan bentuknya melengkung dan di antaranya terdapat tempat duduk dari batu. Taman Sari ini diperluaskan di zaman Sultan Iskandar Sani (berasal dari Pahang / Perak) diatas permintaan Sultanah Sofiatuddin yang amat menyukai taman.    

24) Di Banten, Jawa Barat pada abad ke-17 ada sebuah taman dinamakan Tasik Ardi didirikan oleh Sultan Agong Tirtarjasa. Tasik Ardi ini yang ertinya Tasik dan Gunung mempunyai keluasan 200 meter, tepinya ditambak dengan batu - bata merah dan dibentangi oleh jurang yang dalam, di tempat tasik ada sebuah pulau dibina pada sebuah tambatan raja.

25) Diceribon, Jawa Barat kita dapati pula istana (dibina pada abad ke-17) dengan gaya senibina yang sangat menarik di mana ruang balai besar diukir dengan ukiran pepohonan. Dalam istana itu terdapat pula istana larangan walaupun ukurannya kecil tetapi dibangun dengan ukiran senihias yang indah. Di sudut lain dalam istana itu kita dapati sebuah muzium yang mempamerkan Kereta Perarakan Diraja yang mengingatkan kita kepada tradisi Keraton Majapahit. Di bahagian lain singgahsana pertabalan yang diukir dengan hiasan haiwan; kepala gajah, sayap burung dan sisik naga. Ukiran itu dinamakan dinding penuh berukir. Dalam taman ini dibangun sebuah bukit batu karang buatan yang dihiasi pula dengan ukiran batu karang yang disamarkan dengan memasukkan ke dalam simen. Sementara itu di istana Kesepulan Ceribon di samping taman ada bangunan untuk bersuluk.

26) Dalam abad ke-19 di Lombok, Mataram (dekat Pulau Bali) ada didirikan sebuah taman dinamakan Taman Narmada. Dalam taman ini ada 2 tasik penuh dengan ikan - ikan yang airnya dialirkan masuk dari sebuah sungai dan pohon - pohon yang indah. Ada pula dibangun bangunan yang pintu dan jendelanya dihias dengan ukiran bergaya senihias Hindu taman ini amat luas disusun bertingkat - tingkat (teres), 6 tingkat dengan kolam dan tasik di belakangnya ada kuil.

27) Agak menarik lagi mengenai konsep istana dan taman ini ialah mengenai istana Yogjakarta yang dibangun dalam tahun 1756 di atas sebidang tanah seluas 14,000. Di bawah istana dipanggil Keraton. Keraton ialah tempat bersemayam ratu - ratu atau raja - raja berasal dari kata - kata: Ka + ratu + an = Keraton, juga disebut Keraton iatu Ka-datu-an, tempat datu - datu atau ratu - ratu atau raja - raja.

28) Keraton sebagai istana mengandungi erti keagamaan, filsafat dan kebudayaan. Dari bangunan - bangunannya, letak bangsal - bangsalnya, ukiran - ukirannya, hiasannya, sampai pada warna gedung - gedungnya dan pohon - pohon yang ditanam di dalamnya mempunyai erti, semua yang terdapat di sini seakan - akan memberi nasihat kepada kita untuk cinta dan menyerahkan diri kita kepada Tuhan yang Maha Esa, berlaku sederhana dan tekun, berhati - hati dalam tingkah laku kita sehari - hari dan lain - lain.

29) Keraton dikelilingi oleh benteng tinggi, pintu gerbangnya 5 buah, hanya 4 buah sahaja yang dibuka. Benteng dikelilingi oleh parit air yang dalam dan jernih. Sepanjang jalan ditanam pohon gayam dengan daun yang rendang serta bunga - bunganya yang harum wangi, di samping itu ditanam pula pohon asam (celagi bahasa Kelantan atau Kamal bahasa Sanskrit) dan tanjung untuk melambangkan kehidupan sang anak yang lurus bebas dari rasa sedih dan cemas supaya sang anak itu asem menarik serta disanjung oleh kedua ibu bapanya.

30) Dari huraian mengenai konsep istana dan taman di Yogjakarta Jawa mungkin dapat sedikit perbandingan pula dengan konsep istana Besar Kota Bharu Kelantan. Istana besar ini didirikan tidak jauh dari tapak sebuah Kota Kebun Mangseta yang didirikan dalam tahun 1844 oleh Sultan Muhammad II. dari segi senibina istana itu dikelilingi oleh dinding kayu dan di sebelah hadapan ada pintu gerbang dan di hadapan istana itu ada juga padang (alun - alun) yang tepinya ditanam dengan pohon tanjung dan celagi (asam jawa), mengikut cerita mulut pula ada juga ditanam pohon pauh dan kuwini. Di sebelah istana ada pula masjid besar dan pondok pengajian agama. Di sebelah hilir juga terdapat terdapat perkampungan orang baik - baik (maksudnya pengawai kerajaan) dan ulama - ulama. Di hadapan padang ada pula tambatan Diraja tempat rakyat mempertunjukkan permulaan perahu setiap kali upacara perayaan ulang tahun Al-Sultan. Di sebelah belakang terdapat pintu pong, bagi mengeluarkan gajah dan tempat menyimpan alat - alat pemeliharaan gajah. Di samping itu di sebelah belakang istana ditanam pula buluh berjenis - jenis buluh seperti buluh betong, buluh minyak, buluh pelinting dan sebagainya. Buluh - buluh ini digunakan pula sebagai kubu pertahanan.

31) Di sebelah hulu istana terdapat juga rumah kediaman keluarga dan kerabat diraja serta kaum peniaga, dan kedai - kedai serta pejabat kerajaan.

32) Di zaman  sebelumnya dan sesudah merdeka ini di Malaysia terdapat banyak sekali taman yang didirikan dengan berbagai konsep seperti Taman Kebun Bunga dan Taman Titiwangsa konsepnya lebih bersifat budaya pendidikan dan perlancongan. Malah Putrajaya juga boleh dianggap sebagai sebuah bandar dalam taman. Di mana majoritinya diduduki oleh orang Melayu. Ia jelas merupakan salah satu idea keramat Tun Dr. Mahathir. Ternyata pemikiran Tun Dr. Mahathir bukan hanya merentasi zaman dunia moden, malah pemikiran beliau juga merentasi konsep taman budaya orang Melayu sejak turun temurun.

PS: Majoriti nukilan di atas merupakan hasil cetusan saudara Abdul Rahman Al-Ahmadi. Aku cuma menokok tambah beberapa perenggan hasil dari cetusan idea ku. Sesungguhnya aku bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu, bangsa yang jelas mempunyai nilai tamadun tinggi, tanpa perlu mengorbankan alam ciptaan Ilahi. Ketika mengejar ketinggian ketamadunan, orang Melayu masih mampu mengadaptasikan alam dan tamadun agar seiringan dalam menongkah cabaran peradaban bangsa, agama dan negara. Berbeza dengan tamadun barat yang jelas bersifat sekular dan "self centered", akhirnya akan mengorbankan alam kurniaan Ilahi, yang jelas sekali tidak seiringan sama sekali. Peliknya kita pula diarah oleh Barat agar mengekalkan alam semula jadi yang telah dimusnahkan oleh mereka sendiri.