Tuesday, November 6, 2012

Kebenaran Dan Keadilan Itu Merupakan Tuntutan Islam

1) Aku tidak berminat untuk ulas panjang tentang keceluparan mulut Nurul Izzah Anwar Ibrahim dalam menyentuh isu "kewajaran hak kebebasan hak beragama juga diberikan kepada orang Melayu". Yang pastinya beliau jelas mencari populariti politik dengan menjual agama. Malah isu ini telah dikupaskan oleh YB Zulkifli Noordin melalui blog beliau. Sila baca di sini dan di sini.

2) Perkara yang hendak aku sentuh di sini berkenaan sikap Dr Asri yang dikenali Dr MAZA yang jelas bersikap berat sebelah dalam isu ini. Beliau yang kononnya cuba berpendirian tidak berat sebelah atau duduk di tengah - tengah dalam soal politik, sering kali gagal dalam melaksanakan apa yang diwar - warkan oleh beliau.

3) Mungkin beliau terlupa tentang ajaran Islam yang menekankan soal keadilan dalam mencari kebenaran. Untuk mengelak dari bersikap berat sebelah seseorang tersebut harus mendengar cerita daripada kedua - dua belah pihak. Malah seseorang tersebut haruslah membuang sikap prejudis dan perlu melakukan "demarcation" dalam analisa masing - masing. Dalam soal ini beliau jelas bersikap yang bertentangan, yang telah dijelaskan melalui facebook beliau.

 
Terlupakah beliau bahawa mencari keadilan dan kebenaran itu wajib, yang merupakan suatu perkara yang dituntut oleh Islam. Jika kebenaran dapat dicapai ia bakal mengelak dari berlakunya fitnah, kerana fitnah itu bakal meninggalkan kesan yang berpanjangan yang mungkin kekal berkurun lamanya yang bakal menyebabkan perpecahan umat. Malah sejarah Islam telah membuktikannya, sejarah penubuhan mazhab Syiah sepatutnya menyedarkan Dr MAZA tentang implikasi fitnah ini terhadap masa depan umat Islam.

4) Apakah niat beliau sebenarnya? Dalam beliau sibuk menuduh ahli - ahli politik yang sibuk mencari populariti menjelang pilihanraya yang tidak lama lagi, terlupakah yang beliau juga mungkin sibuk dalam mencari populariti yang sama. Mungkin beliau terlalu ego hinggakan terlupa untuk cermin diri sendiri.    

Saturday, November 3, 2012

Kamarul Dalam Kenangan

1) Pepatah Melayu berkata, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Perumpamaan ini boleh digunakan keatas nasib yang menimpa Zalida Zakaria yang baru sahaja kehilangan suami yang dikasihi, Kamarul Ariffin Hj Nordin.

2) Kamarul juga merupakan seorang insan yang amat ku kenali dan hormati. Malah beliau merupakan bekas ketua ku ketika mula - mula berkhidmat dalam bidang jualan dan pemasaran ketika masih bersama Syarikat Pembinaan Jayabumi [Sarawak] Bhd [PJB] di Alor Star sekitar 2000 hingga 2005.

3) Permegian beliau juga amat mengejutkan dan menyedihkan kerana keluarga beliau amat ku kenali, malah anak - anak dan isteri beliau amat rapat dengan ku. Tidak dapat tidak ia juga mengundang perasaan cemburu beliau terhadap ku.

4) Bila terkenangkan saat akhir hayat beliau menghembus nafas terakhir, aku tidak dapat menahan perasaan sedih dan pilu ku kepada nasib yang menimpa beliau dan keluarga. Akan ku lakukan apa yang terdaya untuk membantu beliau, tetapi akan daya ajal dan mati itu hak mutlak Tuhan. Sesungguhnya kita harus redha dengan setiap nasib yang menimpa kita. Kepada yang masih hidup, terutama sekali keluarga beliau, hidup mesti diteruskan.

5) Sejujurnya perhubungan aku dengan Kamarul tidaklah begitu baik. Beliau mungkin cemburu dengan hubungan ku dengan keluarga beliau terutama sekali isteri beliau. Atas dasar apa cemburu tersebut tidaklah aku mengerti, tetapi pada firasat ku, perasaan cemburu itu mungkin didasari oleh perasaan ego beliau yang tidak boleh menerima penerimaan isteri beliau terhadap aku. Sedangkan penerimaan itu hanya atas dasar sebagai kawan baik yang bukannya atas dasar perhubungan kekasih. Malah ego beliau juga terlalu tebal dengan anak dan isteri, lalu sering kali menyulitkan keluarga. Pada aku, kita haruslah sedia menerima kelemahan diri masing - masing kerana kita hanya insan biasa, menerima kelemahan diri itu adalah salah satu tanda keimanan kita kepada Yang Esa. Namun begitu beliau beruntung kerana beristerikan Zalida Zakaria yang merupakan seorang yang sabar yang berhati cekal yang berjiwa halus walaupun kadang - kadang tu agak "confront". Tidak pastilah aku akan nasib beliau jika beliau beristerikan orang lain, orang tersebut haruslah mempunyai jiwa cekal dan sabar yang tidak ego dan sombong seperti Zalida.

6) Sesungguhnya aku tidak kisah apa sahaja pandangan beliau terhadap ku, yang penting aku tetap menghormati beliau sebagai bekas ketua ku yang telah memberi tunjuk ajar dan ilmu kepada aku sebagai seorang pegawai pemasaran dan jualan. Malah kalau tidak kerana beliau, aku mungkin tidak akan jadi "best salesman" pada tahun 2005. Jadi aku harus berterima kasih dan bersyukur kepada beliau.

7) Kamarul yang dikenali amat berbakat dalam bidang pemasaran dan jualan. Beliau tidak mempunyai kelulusan akademik dalam bidang ini, beliau hanya berpandukan pengalaman dan personaliti beliau yang pandai membuat orang mudah tertarik dengan beliau. Salah satu ilmu yang aku belajar dari beliau ialah, kemampuan untuk membuat "client" menjadi kawan, yang bakal mengekalkan perhubungan antara kita dengan "client", yang dapat mengelak dari menjadi "one off", yang lebih bersifat keikhlasan.

8) Malangnya kelebihan ini sering dicemburui oleh kawan dan lawan. Sering kali beliau menghadapi masalah dengan kawan sekerja dan juga pihak atasan syarikat yang menganggap beliau sebagai ancaman, sedangkan jauh dari sudut hati, beliau tidak berniat langsung untuk menjatuhkan sesiapa. Beliau hanya dipandu oleh perasaan jujur dan ikhlas terhadap syarikat. Salah satu ilmu yang aku pelajari dari beliau ialah KESETIAAN, walau buruk sekali pun syarikat itu, beliau tidak pernah memburukkan syarikat itu, malah tidak pernah seumur hidup ku mendengar beliau memburukkan syarikat kepada orang luar. Ketika syarikat bertungkus lumus menghadapi saat getir apabila pegawai - pagawai kanan syarikat yang bertindak meletak jawatan beramai - ramai, sebaliknya beliau berani bertindak menongkah arus dengan bertindak enggan menuruti langkah pagawai - pegawai kanan syarikat yang ada dikalangannya merupakan anak didik beliau.

9) Dari Johor ke Terengganu sampailah ke Kedah, semua cawangan - cawangan ini berjaya dibaik pulih oleh beliau. Malangnya usaha dan sumbangan ini tidak pernah dihargai oleh pengurusan syarikat. Seperti yang aku telah jelaskan tadi, beliau telah dianggap sebagai ancaman kepada beberapa pegawai atasan syarikat yang cemburukan beliau. Jelaslah mereka ini adalah orang yang takutkan bayang - bayang diri sendiri, yang akhirnya merugikan syarikat. Sehingga kini syarikat PJB kekal dalam keadaan tenat, sama seperti ketika aku tinggalkan syarikat dahulu, mungkin lebih buruk lagi ketika ini. Ini semua angkara pegawai - pegawai syarikat yang tidak ikhlas, yang lebih mementingkan diri sendiri yang masih lagi berjiwa kemelayuan karat.  

10) Kamarul juga tidak pernah cuba untuk mengambil kesempatan atas hubungan kekeluargaan beliau dengan Tan Sri Ahmad Johan, yang merupakan pengasas PJB, yang juga merupakan orang yang bertanggungjawab membawa masuk beliau ke dalam syarikat PJB. Tan Sri merupakan kenalan rapat abang sulung Kamarul, malah abang Kamarul, Tan Sri Shahrom bekas Panglima Angkatan Tentera Darat juga merupakan salah satu pengarah syarikat SMEO yang dimiliki oleh Tan Sri Ahmad Johan. Tan Sri Ahmad Johan juga memiliki Airod dan NADI yang merupakan pemilik saham terbesar syarikat Malindo Airways yang baru ditubuhkan baru - baru ini, diatas inisiatif kerajaan Malaysia dan Indonesia bagi bersaing dengan Air Asia. Kalaulah Kamarul bersifat opportunist, beliau mungkin sudah berjawatan tinggi dalam syarikat atau pun mungkin PJB dapat dipulihkan, tak perlulah Tan Sri jual syarikat tersebut.

11) Malangnya orang - orang kepercayaan Tan Sri ini telah menyalahgunakan syarikat untuk tujuan peribadi, ada diantara mereka telah menggunakan wang syarikat untuk tujuan peribadi, contohnya dengan mengarah syarikat menanggung perbelanjaan kos mereka untuk bertitle Dato'. Ada diantara mereka ini merupakan bekas pegawai kanan kerajaan, yang masih bermentaliti awam. Syarikat telah dijadikan lubuk untuk penyenggelaraan diri kepada pengarah - pengarah ini, kebanyakan mereka langsung tidak menyumbang kepada syarikat. Akhirnya syarikat terpaksa menanggung kos yang amat tinggi.    

12) Bayu Tiara Engineering Sdn Bhd [BTE] merupakan syarikat terakhir beliau. BTE seperti PJB juga menghadapi masalah kewangan. Satu masalah yang sering terdapat kepada syarikat Melayu ialah kelemahan pengurusan, terutama sekali dalam pengurusan kewangan. BTE tidak terlepas dari masalah ini, bezanya BTE tiada masalah politik cantas mencantas seperti yang berlaku dalam PJB. Masalah BTE lebih bersifat kelemahan pengurusan syarikat yang gagal mengawal pengurusan kewangan agar lebih berhemah. Bagusnya BTE ini, pemilik syarikat dapat melihat potensi Kamarul sebagai seorang pengurus, lebih baik daripada pengurus sedia ada. Lalu beliau telah diberikan kepercayaan untuk menggantikan pengurus sedia ada. Malangnya Tuhan terlalu sayangkan beliau, arwah telah kembali ke rahmatullah pada 28 Oktober 2012 ketika pulang ke Kuala Lumpur setelah berhari raya korban di Sungai Petani dan di Pulau Pinang bersama isteri dan anak - anak. Arwah menghembuskan nafas yang terakhir akibat komplikasi jantung ketika cuba menukar tayar kereta yang pancit.

13) Malang kepada BTE, sekali lagi mereka kehilangan orang yang berkaliber setelah kehilangan pengasas syarikat yang juga meninggal dunia akibat sebab yang sama. Aku amat yakin, jika nyawa arwah panjang, beliau pasti akan dapat memulihkan syarikat, malangnya beliau tidak berkesempatan.

14) Pemergiaan arwah bakal meninggalkan ruang yang amat besar kepada seluruh keluarga, isteri yang sebelum ini banyak bergantung harap kepada arwah pasti akan merasai kesan kehilangan beliau. Sudah pasti isteri arwah perlu mencari sumber kewangan lain untuk menampung keluarga, anak sulung beliau masih lagi belajar di MSU, manakala anak perempuan arwah bakal menduduki peperiksaan SPM tak lama lagi, anak ketiga arwah pula masih belajar tingkatan 1 dan yang bongsu baru berumur 1 tahun lebih.

15) Aku redha jika ini ketentuanNya, aku sedia menyerah jiwa dan ragaku membantu keluarga ini. Sesungguhnya aku telah pun menganggap mereka sebagai keluarga kedua ku. Pada aku persepsi masyarakat itu tidak penting, yang pentingnya keikhlasan hati dalam membantu. Masyarakat bukanlah Tuhan untuk menilai dan menghukum kita (walaupun kebanyakan mereka sangat ingin menjadi Tuhan dalam menghukum orang). Mungkin mereka perlu belajar dari surah Al Kahfi dalam mencari kebenaran yang hakikat. Biarlah diri ini buruk di mata masyarakat tetapi tidak di mata Tuhan. Aku pohon kepada Mu ya Allah, Engkau tempatkanlah Kamarul Ariffin Hj Nordin di kalangan hamba - hamba Mu yang soleh.

16) Setiap kali aku ingin mengingati Kamarul, aku hanya ingin mengingati beliau sebagai seorang ketua yang jujur dan ikhlas yang amat setia kepada syarikat walau dalam apa keadaan sekali pun. Ia seperti mana keikhlasan kita kepada negara tanpa mengharapkan apa - apa imbuhan, benarlah kata John F Kennedy, bekas president Amerika Syarikat, "don't asked what country can do for you, but what you can do/contribute to the country". Inilah falsafah hidup yang aku pegang hasil didikan arwah.