Saturday, September 10, 2016

Dari UMNO Keturunan ke BERSATU


UMNO Keturunan

1) Aku dilahir dan dibesarkan daripada keluarga sederhana yang pernah menempuh susah sejak 70an lagi. Ketika aku dilahirkan pada 1977, keluarga sedang berada dalam puncak kesusahan, namun aku percaya rata - rata rakyat Malaysia ketika itu berada dalam keadaan yang sama. Rata - rata pendapatan isi rumah rakyat Malaysia keturunan Melayu kebanyakannya bergantung kepada pertanian, termasuklah keluarga aku. Arwah ibu bekerja mengambil upah menanam padi untuk menampung seisi keluarga, arwah ayah pula tidak berkemampuan untuk bekerja memandangkan keadaan kesihatan yang tidak membenarkan. Kami sekeluarga boleh dikatakan penyokong kuat UMNO/BN, maka aku telah didoktrinkan sejak kecil lagi dengan falsafah perjuangan UMNO yang memperjuangkan bangsa, agama dan negara.

2) Pada masa yang sama aku juga terdedah dengan fahaman sosialis dan komunisme yang dibawa oleh arwah ayah. Beliau merupakan beberapa kerat penyokong sosialis maxisme seperti akhbar Utusan Melayu ketika diawal penubuhannya. Arwah boleh dikatakan sefahaman dan seangkatan A Samad Ismail, Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad dan lain - lain lagi ketika itu. Masih aku teringat lagi, arwah ayah pernah menyimpan beberapa buku yang pernah diharamkan ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman - buku - buku yang pro kepada sosialisme dan komunisme seperti Das Kapital dan Lenin & Gandhi yang kebanyakannya diimport dari Indonesia. Arwah ayah juga merupakan pembaca buku tegar (ulat buku), banyak buku dan novel tersohor ketika itu, seperti Anna Karenina dan War & Peace oleh Leo Tolstoy, The Brothers Karamazov oleh Fyodor Dostoyevsky, The Old Man and the Sea oleh pengarang Amerika Ernest Hemingway dan banyak lagi buku - buku lain oleh pengarang - pengarang lain. Malah arwah juga pernah cuba menjadi pengarang novel untuk DBP - dimana mengisahkan kejadian nelayan yang hilang di lautan akibat dilanda ribut, yang diadaptasikan oleh kejadian sahabat nelayan beliau di kampung. Akhbar Berita Harian tidak pernah gagal dibaca oleh beliau setiap hari, setiap pagi aku akan disuruh ke kedai untuk membeli senaskah akhbar BH. Dari sinilah bermulanya tabiat aku membaca akhhbar dari belakang - disebabkan sering membaca bahagian sukan kegemaran ku, memandangkan arwah terlebih dahulu membaca bahagian depan. Boleh dikatakan setiap artikel akan dibaca oleh beliau termasuklah ruang - ruang iklan, tiada satu akan terlepas daripada penglihatan beliau.

3) Namun begitu, arwah ayah pernah jadi pengasas UMNO di kampung, beliau bersama - sama sahabat termasuklah arwah Ahmad Badawi (bapa bekas PM Malaysia ke5), merupakan beberapa kerat pemimpin UMNO awal yang menubuhkan UMNO di kawasan Pantai Merdeka ketika UMNO di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman.



4) Walaubagaimanapun sejak kejadian 13 Mei, arwah ayah terus menyepi dari dunia politik dan jarang sekali memperlihatkan pandangan politik beliau. Sehinggalah (Datuk Seri) Dr Mahathir menjadi PM ke empat, beliau kembali menunjukkan minat beliau terhadap politik, namun kali ini bukanlah aktif, cuma sekadar menunjukkan minat yang mendalam terhadap politik negara. Masih teringat lagi aku, setiap kali berita pukul 8, pasti televisyen rumah akan dikuasai oleh beliau, tiada siapa akan dibenarkan mengubah siaran lain ketika itu. Arwah akan memberikan tumpuan yang mendalam setiap kali terbaca atau dengar Dr Mahathir berucap. Arwah mempunyai hormat yang tinggi terhadap Dr Mahathir; i- Kerana tahap intelektualiti Dr Mahathir ii- Kerana daya kepimpinan Dr Mahathir dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan politik negara. Arwah pernah menyatakan kepada aku, Dr Mahathir merupakan PM Malaysia terbaik berbanding PM Malaysia terdahulu.

5) Semangat dan idealogi yang berbagai - bagai ini telah membentuk corak pemikiran yang non-conformist - yang berpaksikan kepada praktikaliti berdasarkan keadaan dan masa tertentu - dan ini yang telah melahirkan corak pemikiran dan prinsip yang aku pegang ketika ini. Aku percaya prinsip inilah yang dipegang oleh kepimpinan terdahulu negara. Yang akhirnya berjaya membentuk asas pembentukan negara, yang meringankan beban Dr Mahathir dalam mengisi kemerdekaan negara dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mengisi nilai - nilai yang baik agar kekal berdaya saing dengan bangsa - bangsa dan negara - negara lain. Dimana Dr Mahathir pernah nyatakan bahawa beliau hendak kita rakyat Malaysia mestilah duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa - bangsa dan negara - negara lain. Aku percaya inilah objektif utama visi 2020 beliau bersama - sama dengan matlamat mempertahankan bangsa, agama dan negara.

6) Maka oleh itu aku berpegang jika UMNO tidak lagi membawa panji - panji ini - yang menjadi asas pembentukan diawal penubuhannya, maka haruslah aku menentangnya demi masa depan bangsaku, agamaku dan negaraku. Kerana perlu diingat inilah wadah perjuangan UMNO yang asal, yang juga merupakan asas penubuhannya. Sebarang kesetiaan yang membuta - tuli bukanlah tunjang kekuatan orang Melayu yang beragama Islam, pada aku orang Melayu haruslah berfikiran matang - yang dapat membezakan antara batu dan permata dan perlu bijak dan bebas dalam menentukan masa depan sendiri - inilah yang dinamakan nikmat kemerdekaan seorang yang merdeka. Kerana sifat kejadian manusia atau hambaNya adalah hamba yang merdeka. Sesungguhnya menusia itu diberikan akal yang merdeka untuk menentukan yang mana halal dan yang mana haram, yang mana pahala dan yang mana dosa - suatu kelebihan yang Allah berikan kepada manusia berbanding malaikat. Itulah yang dinyatakan Tuhan kepada malaikat bahawa Dia tahu apa yang tidak kita ketahui.


BERSATU

7) Jika kita berfikiran merdeka, kita tidak akan terikat atau taksub kepada sesuatu perkara. Pemikiran kita akan berpaksikan kepada kebenaran, seperti mana yang pernah aku nyatakan dahulu. Jika berlaku sebarang kemungkaran, haruslah ditentang, dan kepada yang "non-conformist", mereka akan dapat melihat kebenaran itu dari sudut hakikatnya, mereka juga akan dapat melihat warna - warna yang membentukan warna putih yang terlihat dari mata kasar. Mereka tidak akan dapat melihat sesuatu perkara dari berbagai warna, bukan hanya dari sudut hitam dan putihnya sahaja.

8) Jika kita melihat UMNO dari dua warna, hitam dan putihnya, kita tak akan dapat melihat kemungkaran yang berlaku dalam UMNO ketika ini. Apa yang berlaku ketika ini, ketaksuban dan nafsu telah membutakan mata dan hati kita kepada pembohongan dan kemungkaran yang berlaku. Lalu segala kesalahan dan kemungkaran yang terang lagi nyata berlaku depan mata, akibat kerakusan sifat tamak haloba pemimpin UMNO dilupakan. Sebagai hambahNya yang merdeka, yang dikurnaikan akal fikiran pinjaman Allah, adalah menjadi KEWAJIPAN untuk menentang dan menegur sebarang kemungkaran yang berlaku.

9) BERSATU atau PPBM dibentuk untuk mengembalikan kebenaran yang sebelum ini telah dinafikan oleh pemimpin - pemimpin UMNO ini termasuklah presidennya. Ini adalah KEWAJIPAN yang telah aku nyatakan sebelum ini. UMNO hanyalah alat untuk presidennya kekal berkuasa sebagai PM Malaysia. Maka UMNO bukanlah lagi wadah perjuangan bangsa, agama dan negara lagi, oleh itu BERSATU haruslah menggantikan UMNO sebagai wadah perjuangan yang baru. Sifat tamak haloba telah bermaharajalela, api semangat kemerdekaan yang terbentuk sejak awal penubuhan negara telah pun hilang. Malah ia telah jadi penganiayaan yang nyata terhadap rakyat, maka demi masa depan bangsa, agama dan negara, serta anak cucu kita, adalah WAJIB bagi menentang kemungkaran ini. Orang yang merdeka adalah orang yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi sebuah kebenaran.

10) Maka BERSATU lah kita demi perjuangan yang mulia ini, moga - moga ia jadi titik tolak kejayaan kita di kemudian hari. Insyaallah.